Jumat, 03 Februari 2017


Hasil gambar untuk ajaran islam

KANDUNGAN UTAMA AJARAN ISLAM

Dalam topik ini anda akan berkenalan dengan kandungan utama ajaran Islam yang terikat antara satu sama lain. Kandungan tersebut dapat dirumuskan seperti berikut:

Konsep akidah
Akidah berasal daripada perkataan Arab iaitu “aqada” yang bererti mengikat atau menyimpul. Menurut Hasan al-Banna, akidah ialah hal yang berhubung dengan kepercayaan dan keyakinan dalam hati yang akan mendorong hati dan jiwa berasa tenang, tidak bimbang dan bersih daripada prasangka. Akidah mampu melahirkan keyakinan yang kuat dan teguh dalam menghayati seluruh aspek kehidupan dan amal ibadat kepada Zat Yang Maha Berkuasa.
Akidah merupakan pokok dan di atasnya berdiri syariah Islam sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberi buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhan-Nya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.
(Surah Ibrahim: 24 – 25)
Asas akidah Islamiyyah ialah tauhid kepada Allah s.w.t. Tauhid ialah inti daripada Islam itu sendiri. Malah, sebahagian isi al-Qur’an membicarakan tentang tauhid, baik dalam ayat-ayat yang mengandungi cerita, berita tentang Allah serta sifat-sifat-Nya dan juga di dalam ayat-ayat yang menerangkan makhluk dan perbuatannya.
Bersumberkan daripada tauhid ini, lahirlah cabang-cabang lain yang berupa peraturan-peraturan yang mengatur hubungan sesama manusia, dan manusia dengan Tuhannya. Dalam semua bentuk peraturan ini, tujuan utamanya adalah untuk memperkuatkan serta menanam ketauhidan terhadap Allah s.w.t. ke dalam hati setiap orang yang beriman. Tauhid kepada Allah s.w.t. dapat dibahagikan kepada tiga iaitu:

Tauhid rububiyyah
Tauhid rububiyyah bermakna mengakui bahawa Allah s.w.t. adalah pencipta bagi segala sesuatu dan tiada dua pencipta yang sebanding-Nya pada sifat dan perbuatan.
Seterusnya, anda harus tahu bahawa tauhid rububiyyah bererti beriktikad bahawa Allah s.w.t. ialah Tuhan yang menciptakan alam, mentadbir, memiliki-Nya, memberi rezeki makhluk-makhluk, segala-galanya di bawah pengetahuan, kehendak dan kebijaksanaan-Nya yang tidak terhingga.
Maksud sebenar tauhid rububiyyah telah dinyatakan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Qur’an yang bermaksud:
Apakah kamu tidak memerhatikan orang yang membantah Ibrahim tentang Tuhannya (Rab) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: Tuhanku yang menghidupkan dan mematikan. Orang itu berkata: Aku dapat menghidupkan dan mematikan. Ibrahim berkata: Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat, lalu terdiamlah orang kafir itu, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang zalim.
(Surah al-Baqarah: 258)
Ayat di atas merupakan bukti jelas bahawa naluri manusia ialah untuk mengenali dan mengakui rububiyyah Allah. Malah, manusia sendiri mengakui dan akur terhadap rububiyyah Allah seperti yang terdapat di dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Tentu mereka akan menjawab: Allah. Katakanlah: Segala puji bagi Allah tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
(Surah Luqman: 25)
Oleh sebab fitrah inilah, walau sejauh mana sekalipun seseorang itu melafazkan keingkarannya terhadap rububiyyah Allah, namun ketika dalam keadaan yang tersepit dia tetap akan kembali merayu kepada Allah s.w.t. Lihatlah keadaan manusia yang ditimpa masalah kerana pada ketika itu kita akan nampak kesan dalaman apabila mereka mula mencari-cari Allah s.w.t. sebagai Penolong yang sebenar.
Sebenarnya, kemampuan memahami wujudnya Allah, Yang Maha Pencipta, sudah secara fitrah dibekalkan ke dalam naluri manusia. Persoalannya, sama ada fitrah ini dipupuk, diseleweng atau dibanteras. Sekiranya naluri atau fitrah ini dipupuk, dididik dan dipertingkatkan, natijahnya akan terpancarlah satu keyakinan yang bulat bahawa Allah s.w.t. sahajalah sumber yang mencipta dan yang berhak menerima pengabdian yang sepenuhnya.

Tauhid uluhiyyah
Beriman kepada tauhid uluhiyyah Allah bererti beriktiqad bahawa hanya Allah s.w.t. sahaja yang berhak dan patut disembah, dicintai dan dipatuhi. Ini bererti meletakkan seluruh percakapan, perbuatan dan tingkah laku atas petunjuk dan perintah Allah semata-mata dan berkeyakinan bahawa hanya Allah s.w.t. sahaja yang berhak membuat hukum dan peraturan bagi seluruh makhluk yang dicipta-Nya.
Beriman kepada tauhid uluhiyyah bermaksud menolak segala-galanya selain Allah dan mengakui serta menghayati sepenuhnya kalimah La ilaha illallah. Maka atas sebab Tauhid Uluhiyyah inilah, maka Allah s.w.t. telah mengutuskan para rasul-Nya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan tiada Kami mengutus seorang rasul sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tidah ada ilah melainkan Aku, maka sembahlah olehmu akan Aku.
(Surah al-Anbiya’: 25)

Dari sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan):Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.
(Surah al-Nahl: 36)
Sepatutnya tauhid rububiyyah melahirkan keimanan kepada tauhid uluhiyyah. Kedua-dua tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah adalah asas kepada keimanan. lni adalah kerana keyakinan yang teguh terhadap tauhid Allah menjadi satu simpulan yang kukuh dalam jiwa seseorang. Simpulan yang kukuh inilah yang dinamakan iman.

Tauhid asma’ dan sifat
Tauhid asma’ dan sifat ialah mempercayai nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya yang agung mengikut apa yang disifatkan oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. Dalil-dalil Tauhid Asma’ dan Sifat dapat dikesan di dalam al-Qur’an dan Sunnah.
Antara lain, firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): Serulah nama Allah atau nama ‘Ar-Rahman yang mana sahaja kamu serukan (daripada kedua-dua nama itu adalah baik belaka), kerana Allah mempunyai banyak nama serta mulia.
(Surah al-Israa: 110)
Tauhid rububiyyah, tauhid uluhiyyah dan tauhid asma’ dan sifat menjadi asas keimanan kerana ketiga-tiganya menetapkan beberapa asas utama dalam menentukan kehidupan manusia di atas dunia ini iaitu hidup untuk tujuan beribadat hanya kepada Allah, menurut segala kepatuhan dan ketaatan yang datang daripada Allah, membina kehidupan di dunia menurut peraturan-peraturan Allah dan menegakkan masyarakat manusia berlandaskan tauhid kepada Allah s.w.t. Pendek kata, tauhid rububiyyah, tauhid uluhiyyah dan tauhid asma’ dan sifat perlu diimani dan diamalkan serentak demi memastikan keimanan yang jati terhadap Allah s.w.t.
 Syariah
Manusia mempunyai peraturan hidup ataupun undang-undang. Di dalam Islam, peraturan hidup ini dinamakan syariah yang meliputi peraturan hidup individu, masyarakat dan negara. Malah, peraturan ini mencakupi semua bidang kehidupan manusia seperti upacara keagamaan, moral, keluarga, sosial, ekonomi, kewarganegaraan, sistem kehakiman, undang-undang perang serta perdamaian dan hubungan antarabangsa. Sekarang mari kita memahami istilah syariah secara lebih mendalam.

Konsep syariah
Secara etimologi, syariah bermaksud pandangan dan jalan yang lurus. Ia juga berkongsi kata dasar dengan perkataan syur’at al-ma’ yang bererti tempat keluar air yang digunakan untuk minuman. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
… untuk setiap umat antara kamu, Kami berikan kamu aturan, yakni syariah atau jalan yang terang …
(Sural al-Maidah: 48)
Dari segi istilah, syariah secara umumnya bermaksud segala perintah yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. ke atas manusia dari segi akidah, amaliyyah dan akhlak. Namun dalam pengertian yang khusus, syariah merujuk kepada perintah Allah s.w.t. dari segi amaliyyah sahaja. Aspek amaliyyah merujuk kepada amalan dan aktiviti zahir manusia. Dalam pengertian yang khusus ini, syariah tidak melibatkan aspek akidah kerana akidah merujuk kepada pegangan dan kepercayaan hati manusia, manakala akhlak pula lebih merujuk kepada urusan pembersihan hati dan jiwa manusia.
Syariah dalam pengertian yang khusus ini boleh pula dipecahkan kepada empat unsur utama iaitu:

Keistimewaan syariah
1. Syariah Islamiah adalah syariah Rabbani iaitu ciptaan Allah s.w.t., Tuhan Semesta Alam.
2. Syariah Islam menekankan bukan sahaja kebahagiaan dan keselamatan di dunia tetapi yang lebih penting lagi ialah kehidupan di akhirat. Ia mengatur kehidupan manusia daripada yang paling kecil hingga paling besar bagi memelihara kesejahteraan manusia.
3. Undang-undang syariah juga bersepadu kerana ia mempunyai prinsip-prinsip perundangan yang mengatur urusan keduniaan dan keagamaan, tanpa batasan perkauman, warna kulit, bahasa, tempat, pangkat kedudukan dan sebagainya.
4. Syariah Islam berpendirian teguh dan tetap dalam soal prinsip dan dasar agama tetapi dalam persoalan furu’ (cabang agama) sangat fleksibel (boleh bertolak ansur). Contoh furu’ ialah bacaan dan qurut. Sila rujuk kepada tutor anda untuk penjelasan lebih lanjut.
5. Syariah Islam juga sangat sesuai dan selaras dengan fitrah dan naluri manusia yang suci dan bersih.
6. Syariah juga telah mendapat pengiktirafan pemikir dan pakar barat.
Antaranya adalah seperti berikut:
a. Dr. Shifferer, Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Wina menegaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. membawa syariah yang unggul, manakala bangsa Eropah memerlukan dua ribu tahun untuk membuat perundangan seumpama dengannya.
b. Dr. Hocking, Ketua Dekan Ilmu Falsafah Universiti Harvard, Amerika Syarikat pula menegaskan bahawa kemajuan sesuatu negara Islam akan diperoleh apabila setiap Muslim dalam negara itu menggunakan segala sumber kekuatan dan kemajuan daripada agamanya. Islam mempunyai daya kekuatan yang luar biasa dalam ajarannya. Islam juga unggul dalam banyak aspek apabila dibandingkan dengan syariah yang lain. Halangan yang dihadapi selama ini adalah kerana tiada kemahuan umat Islam untuk menggunakan sumber-sumber kekuatan ajaran Islam.
c. Bernard Shaw juga mengakui bahawa Islam mempunyai potensi sejajar dengan kepentingan hidup umat manusia pada setiap masa dan zaman.
d. H.G Wells menyatakan bahawa undang-undang pentadbiran dan perdagangan yang terdapat di Eropah pada dasarnya berasal daripada syariah Islam. Itulah sebabnya Eropah terhutang budi pada Islam.
e. Dr. Isacco Ensepato secara objektif menegaskan bahawa syariah Islam dalam banyak hal melebihi perundangan negara-negara Eropah. Ia juga merupakan perundangan yang paling lengkap di dunia.
Keterangan tentang keistimewaan syariah Islam di atas jelas menunjukkan bahawa syariah Islam sangat relevan untuk dijadikan panduan hidup semua manusia dan sesuai diamalkan pada sepanjang masa serta di mana-mana tempat.

Aktiviti 1.10
Soalan kepada aktiviti 1.10






Akhlak
Ilmu akhlak ialah ilmu yang membahaskan tentang tatanilai, hukum-hukum atau prinsip-prinsip tertentu bagi mengenal pasti sifat-sifat keutamaan untuk dihayati dan diamalkan serta mengenal pasti sifat-sifat tercela untuk dijauhi dengan tujuan membersihkan jiwa berasaskan wahyu Ilahi bagi mencapai keredaannya.
Manakala akhlak Islam pula didefinisikan sebagai satu sifat atau sikap keperibadian yang membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan prinsip-prinsip yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.
Dalam konteks inilah, akhlak yang dikehendaki dalam Islam itu berbeza daripada konsep moral atau etika yang dicipta oleh manusia. Ini kerana kedua-duanya itu lebih menekankan kepada aspek tindakan dan tingkah laku lahiriah manusia dalam hubungan sesama manusia berdasarkan kepada pemikiran dan pandangan umum sesuatu kumpulan masyarakat pada sesuatu masa dan sesuatu tempat yang tertentu.
Nilai moral dan etika bersifat relatif, subjektif dan temporal – berubah-ubah mengikut lingkungan pemikiran, suasana dan tempat. Manakala akhlak Islam lebih bersifat menyeluruh dari segi luaran dan dalaman, zahir dan batin. Ia berasaskan kepada nilai-nilai mulia yang tetap, pasti dan tidak berubah-ubah serta bersumberkan kepada wahyu. Bagaimanapun, perubahan dan perbezaan dinamik masyarakat turut diambil kira dalam sistem akhlak Islam selagi ia tidak bercanggah dengan sumber wahyu.

Kedudukan akhlak dalam Islam
Kedudukan akhlak dalam Islam boleh dilihat dalam beberapa aspek seperti berikut:
1. Akhlak merupakan satu dari komponen asas Islam selain akidah dan syariah. Ini menggambarkan kedudukannya yang sangat penting sebagai salah satu daripada tunjang Islam itu sendiri.
2. Berbanding dengan komponen yang lain, akhlak boleh dianggap sebagai buah. Pegangan akidah yang sahih dan kuat disertai dengan penghayatan amaliyyah yang komited akan menghasilkan buah yang manis dan harum, dan begitu juga sebaliknya.
3. Akhlak berkait rapat dengan aspek kejiwaan dan dalaman manusia. Aspek dalaman merupakan asas bagi penilaian manusia di sisi Allah s.w.t. Ianya berkaitan mengenai hati dan juga yang berkaitan dengannya.
4. Pengutusan Rasulullah s.a.w. ke alam ini bertujuan untuk menanamkan kemuliaan akhlak daripada kalangan manusia yang sebelumnya hidup tanpa satu sistem akhlak yang adil, universal dan saksama.

Dimensi akhlak dalam Islam
Akhlak yang dituntut oleh Islam bersifat menyeluruh dan mencakupi segenap segi hubungan dalam kehidupan manusia seperti berikut:
1. Akhlak dengan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya
Akhlak dengan Allah dan Rasul-Nya bermakna menumpukan sepenuhnya ketakwaan, keimanan, kepatuhan dan keikhlasan kepada Allah s.w.t. dalam segenap aktiviti kehidupan. Tuntutan mentaati Allah s.w.t. dan Rasul-Nya merupakan tuntutan yang asasi yang banyak ditekankan oleh al-Qur’an dan al-Hadith. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan tidak diperintahkan mereka itu (segala manusia) melainkan untuk beribadat kepada Allah dengan penuh keikhlasan bag-iNya.
(Surah al-Bayyinah: 5)
Akhlak dengan Allah juga menuntut kita sentiasa mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t. Mensyukuri nikmat Allah ialah dengan cara mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Berkatalah (Sulaiman) ini adalah anugerah Tuhanku untuk mengujiku sama ada aku bersyukur atau ingkar …
(Surah al-Naml: 40)

 2. Akhlak dengan diri sendiri
Akhlak dengan diri sendiri menuntut manusia menunaikan hak-hak dan tuntutan dirinya seperti yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. sama ada melalui peraturan syariahnya atau peraturan tabi’i kejadiannya sendiri dari segi jasmani, rohani, intelek dan emosi. Maksud firman Allah s.w.t.:
… dan jangan kamu campakkan dirimu dalam kebinasaan …
(Surah al-Baqarah: 195)
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Sesungguhnya bagi dirimu ke atas kamu ada hak, dan bagi ahli keluargamu ke atas mu ada hak, maka tunaikanlah hak bagi setiap yang berhak.
(HR. Bukhari)

3. Akhlak dengan manusia lain
Berakhlak dengan manusia lain menuntut seseorang individu agar mempunyai perasaan dan bertingkah laku sewajarnya terhadap manusia lain berdasarkan kedudukan mereka. Dalam hal ini manusia lain terdiri daripada beberapa peringkat seperti berikut:
a. Ibu bapa
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
… dan Allah telah wajibkan agar kamu tidak beribadat melainkan kepada- Nya dan dengan kedua ibu bapa hendaklah berbuat baik …
(Surah al-Isra’ : 23)
b. Tanggungan
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka.
(Surah al-Tahrim: 6)
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Perintahlah anakmu sembahyang ketika berumur tujuh tahun, rotankan ketika berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka.
(HR. Ahmad, Abu Daud dan Hakim)
c. Kaum kerabat
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Bukanlah kebaikan itu bahawa kamu menghadapkan mukamu ke arah timur atau barat tetapi kebaikan itu ialah sesiapa yang beriman dengan Allah, dan hari akhirat dan malaikat dan kitab dan nabi-nabi dan memberikan harta kepada yang dikasihinya daripada kaum kerabatnya dan anak-anak yatim.
(Surah al-Baqarah: 177)
d.  Jiran tetangga
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah memuliakan jirannya.
(HR.Abu Hurairah)
Sabda Baginda lagi:
Tidak (sempurna) iman seseorang yang tidur dalam kekenyangan sedangkan jirannya dalam kelaparan.
(HR Tabrani)
e. Masyarakat
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami jadikan daripada lelaki dan perempuan dan Kami ciptakan berpuak-puak dan berkabilah supaya kamu dapat saling mengenali.
(Surah al-Hujurat: 13)
f. Alam seluruhnya
Alam seluruhnya juga adalah hamba Allah yang sentiasa beribadat kepada-Nya. Firman Allah s.w.t. bermaksud:
… dan tiada sesuatupun (daripada isi langit dan bumi) melainkan semuanya bertasbih dan memuji Allah akan tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka.
(Surah al-Isra’: 44)
Oleh kerana itu semua isi kandungan langit dan bumi hendaklah diperlakukan dengan sebaik-baiknya dan dengan ihsan tanpa mendatangkan kemusnahan dan kerosakan. Malah, Rasulullah s.a.w. diutus oleh Allah s.w.t. untuk membawa rahmat ke seluruh alam, bukan khusus untuk manusia sahaja. Firman Allah s.w.t. bermaksud:

… dan tidak Kami utuskan kamu melainkan untuk membawa rahmat ke seluruh alam.
(Surah al-Anbiya’: 107)

0 komentar:

Posting Komentar

Arsip Blog

Diberdayakan oleh Blogger.

INFO

SAYA MEMBUAT BLOG INI UNTUK MENAMBAH WAWASAN DAN ILMU PENGHETAHUAN TENTANG ISLAM . BAHWA ILMU INI SANGATLAH PENTING UNTUK KALIAN SEMUA DENGAN ILMU INI KALIAN AKAN MENDAPATKAN KESELAMATAN DAN KEBAHAGIAN DI DUNIA MAUPUN DI AKHIRAT. AMIN YA RABBAL ALAMIN.

Followers

Popular Posts

MAKNA ALLAH SWT

Makna ”Allah SWT”:
Dari penjelasan ini dapat disimpulkan bahwa makna ”Allah SWT” adalah: Allah (Tuhan) yang Mahasuci dan Mahatinggi.

Sebenarnya, SWT (Subhanahu wa Ta’ala) bukan satu-satunya lafaz yang disertakan oleh ummat Islam setelah lafaz ”Allah”. Masih banyak lagi lafaz-lafaz lain, antara lain:
- ’Azza wa Jalla => Allah ’Azza wa Jalla
- Jalla Jalaluh => Allah Jalla Jalaluh
- Tabaroka wa Ta’ala => Allah Tabaroka wa Ta’ala

Semua lafaz tersebut adalah sifat-sifat kemuliaan dan keagungan Allah SWT.

Perlu diperhatikan, meski pun secara bahasa lafaz ”Allah” berarti ”Tuhan”, sebagai seorang muslim kita harus tetap meyakini bahwa ”Allah” adalah nama bagi ”Zat” Tuhan Pencipta dan Pengatur alam semesta ini. Sebab Al-Qur’an sendiri – yang notabenenya wahyu Tuhan – menegaskan bahwa ”Allah” adalah nama bagi Tuhan Pencipta dan Penguasa jagad raya ini. Demikian juga dalam hadits-hadits Rasulullah Muhammad saw.

Wallahu a’lam.