Jumat, 03 Februari 2017

Hasil gambar untuk aqidah

KONSEP AKIDAH

Akidah berasal daripada perkataan Arab iaitu “aqada” yang bererti mengikat atau menyimpul. Menurut Hasan al-Banna, akidah ialah hal yang berhubung dengan kepercayaan dan keyakinan dalam hati yang akan mendorong hati dan jiwa berasa tenang, tidak bimbang dan bersih daripada prasangka. Akidah mampu melahirkan keyakinan yang kuat dan teguh dalam menghayati seluruh aspek kehidupan dan amal ibadat kepada Zat Yang Maha Berkuasa.
Akidah merupakan pokok dan di atasnya berdiri syariah Islam sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberi buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhan-Nya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.
(Surah Ibrahim: 24 – 25)
Asas akidah Islamiyyah ialah tauhid kepada Allah s.w.t. Tauhid ialah inti daripada Islam itu sendiri. Malah, sebahagian isi al-Qur’an membicarakan tentang tauhid, baik dalam ayat-ayat yang mengandungi cerita, berita tentang Allah serta sifat-sifat-Nya dan juga di dalam ayat-ayat yang menerangkan makhluk dan perbuatannya.
Bersumberkan daripada tauhid ini, lahirlah cabang-cabang lain yang berupa peraturan-peraturan yang mengatur hubungan sesama manusia, dan manusia dengan Tuhannya. Dalam semua bentuk peraturan ini, tujuan utamanya adalah untuk memperkuatkan serta menanam ketauhidan terhadap Allah s.w.t. ke dalam hati setiap orang yang beriman. Tauhid kepada Allah s.w.t. dapat dibahagikan kepada tiga iaitu:

Tauhid rububiyyah
Tauhid rububiyyah bermakna mengakui bahawa Allah s.w.t. adalah pencipta bagi segala sesuatu dan tiada dua pencipta yang sebanding-Nya pada sifat dan perbuatan.
Seterusnya, anda harus tahu bahawa tauhid rububiyyah bererti beriktikad bahawa Allah s.w.t. ialah Tuhan yang menciptakan alam, mentadbir, memiliki-Nya, memberi rezeki makhluk-makhluk, segala-galanya di bawah pengetahuan, kehendak dan kebijaksanaan-Nya yang tidak terhingga.
Maksud sebenar tauhid rububiyyah telah dinyatakan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Qur’an yang bermaksud:
Apakah kamu tidak memerhatikan orang yang membantah Ibrahim tentang Tuhannya (Rab) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: Tuhanku yang menghidupkan dan mematikan. Orang itu berkata: Aku dapat menghidupkan dan mematikan. Ibrahim berkata: Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat, lalu terdiamlah orang kafir itu, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang zalim.
(Surah al-Baqarah: 258)
Ayat di atas merupakan bukti jelas bahawa naluri manusia ialah untuk mengenali dan mengakui rububiyyah Allah. Malah, manusia sendiri mengakui dan akur terhadap rububiyyah Allah seperti yang terdapat di dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Tentu mereka akan menjawab: Allah. Katakanlah: Segala puji bagi Allah tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
(Surah Luqman: 25)
Oleh sebab fitrah inilah, walau sejauh mana sekalipun seseorang itu melafazkan keingkarannya terhadap rububiyyah Allah, namun ketika dalam keadaan yang tersepit dia tetap akan kembali merayu kepada Allah s.w.t. Lihatlah keadaan manusia yang ditimpa masalah kerana pada ketika itu kita akan nampak kesan dalaman apabila mereka mula mencari-cari Allah s.w.t. sebagai Penolong yang sebenar.
Sebenarnya, kemampuan memahami wujudnya Allah, Yang Maha Pencipta, sudah secara fitrah dibekalkan ke dalam naluri manusia. Persoalannya, sama ada fitrah ini dipupuk, diseleweng atau dibanteras. Sekiranya naluri atau fitrah ini dipupuk, dididik dan dipertingkatkan, natijahnya akan terpancarlah satu keyakinan yang bulat bahawa Allah s.w.t. sahajalah sumber yang mencipta dan yang berhak menerima pengabdian yang sepenuhnya.
Tauhid uluhiyyah
Beriman kepada tauhid uluhiyyah Allah bererti beriktiqad bahawa hanya Allah s.w.t. sahaja yang berhak dan patut disembah, dicintai dan dipatuhi. Ini bererti meletakkan seluruh percakapan, perbuatan dan tingkah laku atas petunjuk dan perintah Allah semata-mata dan berkeyakinan bahawa hanya Allah s.w.t. sahaja yang berhak membuat hukum dan peraturan bagi seluruh makhluk yang dicipta-Nya.
Beriman kepada tauhid uluhiyyah bermaksud menolak segala-galanya selain Allah dan mengakui serta menghayati sepenuhnya kalimah La ilaha illallah. Maka atas sebab Tauhid Uluhiyyah inilah, maka Allah s.w.t. telah mengutuskan para rasul-Nya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan tiada Kami mengutus seorang rasul sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tidah ada ilah melainkan Aku, maka sembahlah olehmu akan Aku.
(Surah al-Anbiya’: 25)

Dari sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan):Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.
(Surah al-Nahl: 36)
Sepatutnya tauhid rububiyyah melahirkan keimanan kepada tauhid uluhiyyah. Kedua-dua tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah adalah asas kepada keimanan. lni adalah kerana keyakinan yang teguh terhadap tauhid Allah menjadi satu simpulan yang kukuh dalam jiwa seseorang. Simpulan yang kukuh inilah yang dinamakan iman.

Tauhid asma’ dan sifat
Tauhid asma’ dan sifat ialah mempercayai nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya yang agung mengikut apa yang disifatkan oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. Dalil-dalil Tauhid Asma’ dan Sifat dapat dikesan di dalam al-Qur’an dan Sunnah.
Antara lain, firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): Serulah nama Allah atau nama ‘Ar-Rahman yang mana sahaja kamu serukan (daripada kedua-dua nama itu adalah baik belaka), kerana Allah mempunyai banyak nama serta mulia.
(Surah al-Israa: 110)
Tauhid rububiyyah, tauhid uluhiyyah dan tauhid asma’ dan sifat menjadi asas keimanan kerana ketiga-tiganya menetapkan beberapa asas utama dalam menentukan kehidupan manusia di atas dunia ini iaitu hidup untuk tujuan beribadat hanya kepada Allah, menurut segala kepatuhan dan ketaatan yang datang daripada Allah, membina kehidupan di dunia menurut peraturan-peraturan Allah dan menegakkan masyarakat manusia berlandaskan tauhid kepada Allah s.w.t. Pendek kata, tauhid rububiyyah, tauhid uluhiyyah dan tauhid asma’ dan sifat perlu diimani dan diamalkan serentak demi memastikan keimanan yang sejati terhadap Allah s.w.t.

0 komentar:

Posting Komentar

Arsip Blog

Diberdayakan oleh Blogger.

INFO

SAYA MEMBUAT BLOG INI UNTUK MENAMBAH WAWASAN DAN ILMU PENGHETAHUAN TENTANG ISLAM . BAHWA ILMU INI SANGATLAH PENTING UNTUK KALIAN SEMUA DENGAN ILMU INI KALIAN AKAN MENDAPATKAN KESELAMATAN DAN KEBAHAGIAN DI DUNIA MAUPUN DI AKHIRAT. AMIN YA RABBAL ALAMIN.

Followers

Popular Posts

MAKNA ALLAH SWT

Makna ”Allah SWT”:
Dari penjelasan ini dapat disimpulkan bahwa makna ”Allah SWT” adalah: Allah (Tuhan) yang Mahasuci dan Mahatinggi.

Sebenarnya, SWT (Subhanahu wa Ta’ala) bukan satu-satunya lafaz yang disertakan oleh ummat Islam setelah lafaz ”Allah”. Masih banyak lagi lafaz-lafaz lain, antara lain:
- ’Azza wa Jalla => Allah ’Azza wa Jalla
- Jalla Jalaluh => Allah Jalla Jalaluh
- Tabaroka wa Ta’ala => Allah Tabaroka wa Ta’ala

Semua lafaz tersebut adalah sifat-sifat kemuliaan dan keagungan Allah SWT.

Perlu diperhatikan, meski pun secara bahasa lafaz ”Allah” berarti ”Tuhan”, sebagai seorang muslim kita harus tetap meyakini bahwa ”Allah” adalah nama bagi ”Zat” Tuhan Pencipta dan Pengatur alam semesta ini. Sebab Al-Qur’an sendiri – yang notabenenya wahyu Tuhan – menegaskan bahwa ”Allah” adalah nama bagi Tuhan Pencipta dan Penguasa jagad raya ini. Demikian juga dalam hadits-hadits Rasulullah Muhammad saw.

Wallahu a’lam.