CIRI-CIRI SAINS DAN TEKNOLOGI ISLAM
Antara ciri-ciri sains dan teknologi Islam ialah seperti berikut:
1. Berteraskan prinsip tauhid
Seluruh alam semesta termasuk makhluk manusia adalah ciptaan Allah s.w.t. Kewujudan alam semesta termasuk proses sebab-musabab dan segala fenomena yang berlaku daripada sekecil-kecil sehingga sebesar-besarnya ditentukan oleh Allah s.w.t. sebagai tanda kebesaran dan keagungan-Nya.
2. Integrasi antara ilmu akal dan ilmu naqal (Wahyu)
Pencapaian sains dan teknologi adalah pencapaian minda yang dikenali al-ulum al-aqliyyah (ilmu akal). Namun ulum al-aqliyyah perlu diintegrasikan atau digabungkan dengan ulum al-naqliyyah (ilmu wahyu). Contohnya, Islam menggalakkan penerokaan alam semesta dengan sains dan teknologi, namun tujuannya adalah untuk mengenali kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.
3. Kebenaran hakiki adalah kebenaran wahyu
Menurut Islam, segala pencapaian sains dan teknologi tidak bermakna jika kebenaran mutlak (absolute truth) dinafikan. Kebenaran berasaskan pengetahuan empirik (ilmu sains dan teknologi) harus menerima hakikat kebenaran metafizik iaitu tentang kebenaran wujudnya Allah s.w.t.
4. Sains dan teknologi mengukuhkan keimanan
Sains Islam penuh nilai keberkatan ilmu (blessing), kebijaksanaan (wisdom), ketajaman daya faham (tafaqquh) dan kebenaran (al-haqq). Pencapaian sains dan teknologi adalah anugerah ilmu yang mempunyai pelbagai maklumat untuk menyakinkan manusia dengan bukti bahawa Allah s.w.t. adalah Pencipta, Pendidik dan Pemelihara alam semesta ini.
0 komentar:
Posting Komentar