JENIS-JENIS JIHAD
Seterusnya, marilah kita bersama-sama mengkaji jenis-jenis jihad yang disyarakkan dalam Islam. Jihad boleh dibahagikan kepada lima perkara berdasarkan perkaraperkara yang menghalang manusia daripada mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan sepenuh jiwa raganya.
Jihad nafsu
Nafsu merupakan anugerah Allah kepada manusia. Dengan itu, menentang hawa nafsu tidak bermakna menolak semua bentuk kesenangan dan kenikmatan di dunia ini. Ia lebih kepada mengawal dan menyalurkan nafsu ke arah yang betul. Bagi mencapai maksud itu jiwa hendaklah dibersihkan.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan demi jiwa serta penyempurnaannya maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.
(Surah al-Syams: 7 – 10)
|
Jihad melawan hawa nafsu boleh dibahagikan kepada empat bahagian iaitu:
1. Jihad mencari petunjuk dan jalan yang benar
Bagi mendapat petunjuk, ilmu menjadi langkah permulaan dan prasyarat utama, dan dalam konteks ini ialah ilmu agama. Dengan ilmu agama seseorang itu dapat membezakan antara yang hak dan yang batil. Ilmu agama juga akan membantu seseorang itu mengetahui keutamaan dalam beramal.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.
(Surah al-Zumar: 9)
|
2. Jihad mengamalkan ilmu yang dipelajari dan berpegang teguh dengannya
Setelah ilmu dikuasai, ia mestilah diamalkan dengan bersungguh-sungguh. Hawa nafsu akan sentiasa menganggu seseorang yang cuba mengamalkan ilmunya. Oleh itu, hawa nafsu ini mesti dikawal. Jika tidak, ia akan menyesatkan seseorang individu. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Maka datanglah sesudah mereka (pengganti yang jelek) yang mensia-siakan solat dan memperturutkan hawa nafsu mereka, maka mereka kelak akan menemui kesesatan, kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka akan masuk syurga dan tidak dianiaya sedikit pun.
(Surah Maryam: 59 – 60)
|
3. Jihad menyebarkan ilmu dan dakwah
Ilmu dan petunjuk yang telah diperoleh dan diamalkan hendaklah disebarkan kepada orang lain. Ini ialah tugas yang mulia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan serulah kepada tuhanmu, sesungguhnya kamu di atas petunjuk yang lurus.
(Surah al-Hajj: 67)
|
4. Jihad menanggung kesulitan ketika berdakwah
Sudah menjadi sunnatullah, usaha dakwah akan ditentang oleh musuhmusuh dakwah yang terdiri daripada syaitan dan pengikutnya dalam kalangan manusia. Seorang pendakwah hendaklah bersabar kerana ganjaran yang besar dijanjikan oleh Allah s.w.t. di akhirat nanti. Merekalah golongan yang beruntung. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, dan nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihatmenasihati dengan kesabaran.
(Surah al-Asr 2 – 5)
|
Jihad menentang hasutan iblis dan syaitan
Syaitan adalah pengikut kepada iblis. Iblis telah bersumpah untuk menyesatkan manusia. Allah s.w.t. telah merakamkan keazaman iblis di dalam al-Qur’an melalui firman-Nya yang bermaksud:
Iblis menjawab: Kerana engkau telah menghukum aku tersesat maka aku pasti akan menghalang mereka dari jalan engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan engkau akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.
(Surah al-A’raf: 16 – 17)
|
Seterusnya, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu maka jadikanlah dia sebagai musuh.
(Surah al-Fatir: 6)
|
Bagi menghadapi iblis dan syaitan langkah-langkah berikut perlu dilaksanakan:
1. Azam yang kuat untuk memperbaiki diri
Ini adalah langkah permulaan. Seseorang haruslah mengubah nasibnya dahulu sebelum mengharapkan Allah s.w.t. mengubah nasibnya:
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan diri mereka sendiri.
(Surah al-Ra’d: 11)
|
2. Memahami ilmu dan petunjuk agama
Syaitan lebih takut kepada orang yang alim daripada orang yang kuat beribadat tetapi jahil, kerana orang yang berilmu tidak mudah tertipu. Ilmu tersebut ialah ilmu Islam yang membolehkan kita mengenal halal dan haram, cara melaksanakan yang halal dan menjauhi yang haram. Islam hendaklah difahami dengan betul dan tepat bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah dengan tafsiran ulamak yang muktabar.
3. Berpegang teguh dengan kebenaran
Seorang yang berjihad mestilah berpegang kepada kebenaran dan menentang kebatilan. Jika dia berpaling daripada kebenaran, syaitan akan menjadi temannya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Barang siapa yang berpaling daripada pengajaran Tuhan yang Maha Pemurah, Kami adakan baginya syaitan, maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.
(Surah al-Zukhruf: 36)
|
4. Mengukuhkan hubungan dengan Allah
Hubungan dengan Allah s.w.t. yang kukuh akan membuka jalan kepada pertolongan Allah untuk menyelesaikan segala permasalahan hidup terutama sekali dalam menghadapi godaan syaitan. Hubungan dengan Allah s.w.t. diperkukuhkan dengan memperbanyakan ibadat dan zikir. Ibadat dan zikir yang dilaksanakan hendaklah bertepatan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw bukan rekaan atau tambahan manusia (bid’ah). Agama hendaklah dikekalkan keasliannya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Sesungguhnya orang yang bertakwa ialah apabila mereka ditimpa was-was daripada syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan mereka.
(Surah al-A’raf: 201)
|
5. Bersama-sama dengan jemaah orang salih
Untuk menghadapi hasutan syaitan, sokongan rakan-rakan juga penting. Oleh itu hendaklah seseorang Muslim bergaul dengan mereka yang salih serta taat kepada perintah agama.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaannya (Allah), dan janganlah kamu palingkan wajahmu dari (mereka) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini, janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah kami lalaikan daripada mengingati kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.
(Surah al-Kahfi: 28)
|
6. Menggunakan neraca Allah dalam kehidupan
Seorang yang berjihad hendaklah menilai setiap isu kehidupan dari kaca mata agama dan tidak mudah terpengaruh dengan idea dan pandangan yang berlawanan dengan kehendak Islam. Jika tidak dia akan dipengaruhi oleh syaitan.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Janganlah sekali-kali kamu terpedaya oleh kebebasan orang kafir bergerak dalam negeri. Ini hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah neraka jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
(Surah al-Imran: 196 – 197)
|
Jihad menentang golongan yang memusuhi Islam
Islam tidak memerintahkan umatnya untuk memerangi semua orang yang tidak menerima dakwahnya. Jika mereka sudi untuk hidup berbaik-baik dengan orang Islam, maka mereka akan diberikan hak dan tanggungjawab sama seperti hak dan tanggungjawab yang diperolehi oleh umat Islam yang lain. Ini telah dibuktikan oleh Islam sepanjang sejarah pemerintahan dan kekuasaannya dahulu. Malah tercatat dalam sejarah Islam lampau bahawa kementerian tertentu di bawah kekuasaan Islam diketuai oleh orang bukan Islam yang mahir dalam bidang yang berkenaan.
Golongan yang sentiasa memusuhi Islam telah, sedang dan akan wujud sepanjang perjalanan sejarah. Golongan ini tidak akan sama sekali membiarkan dakwah Islam berkembang. Malah, ada yang sanggup mengusir umat Islam daripada tanah air mereka sendiri seperti yang berlaku di Palestin. Hanya orang yang memerangi Islam dan umatnya seperti ini, serta golongan yang menghalang daripada perlaksanaan usaha dakwah sahaja yang diperintahkan oleh Islam untuk diperangi.
Akan tetapi bentuk jihad untuk menghadapi golongan kafir adalah bergantung kepada keadaan. Islam bukanlah agama yang keras dan kaku. Ia memandu umatnya supaya bertindak sesuai dengan situasi serta kemampuan yang ada.
Situasi yang dimaksudkan terbahagi kepada dua:
1. Ketika kaum muslimin tidak mempunyai kekuasaan
Ketika kaum Muslimin tidak mempunyai kekuatan dan pemerintahan yang kukuh, manakala musuh pula mempunyai kuasa ke atas umat Islam maka jihad yang sesuai ialah jihad melalui lisan iaitu dakwah menyeru manusia kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan berjihadlah terhadap mereka dengan al-Quran dengan jihad yang besar.
(Surah al Furqan: 52)
|
Jihad ini dilaksanakan melalui lisan dan hujah terhadap golongan kafir agar hati mereka kembali kepada Islam. Pada zaman moden, jihad ini boleh dilakukan melalui penulisan, media elektronik dan Internet bagi menjawab tuduhan dan menyampaikan mesej Islam. Walau bagaimanapun, kaum Muslim hendaklah mencari jalan untuk memperkuatkan diri mereka sehingga dapat menghadapi musuhnya dengan kekuatan jika diancam.
2. Ketika kaum muslimin mempunyai kekuasaan
Apabila orang Islam telah memiliki kekuasaan pemerintahan yang sempurna dan mereka dihalang daripada menyampaikan dakwah secara aman, maka jihad melalui senjata atau berperang hendaklah dilaksanakan. Jihad ini dinamakan Jihad al-Qital. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Perangilah orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya, dan tiada beragama dengan agama yang benar (iaitu orang) yang diberikan kitab kepada mereka, sehingga mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk.
(Surah al-Taubah: 29)
|
Melalui ayat di muka surat sebelah, golongan kafir diberi tiga pilihan iaitu:
a. Menganut Islam secara sukarela.
b. Mene ruskan kepe rcayaan agama mereka tetapi menerima pemerintahan Islam dengan membayar jizyah (cukai) dan tidak menyekat usaha dakwah Islam.
c. Berperang.
Jihad menentang golongan munafik
Golongan munafik terdiri daripada orang yang berpura-pura menganut Islam tetapi di dalam hati amat memusuhi umat Islam. Mereka sentiasa mencari peluang untuk merosakkan umat Islam dengan pelbagai cara. Antaranya, melalui penyebaran fitnah dan bekerjasama dengan musuh-musuh Islam untuk menyerang umat Islam.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Hai Nabi berjihadlah (menentang) orang kafir dan munafik itu dan bersikap keraslah terhadap mereka.
(Surah al-Taubah: 73)
|
Jihad membasmi keburukan dalam masyarakat
Keburukan dalam masyarakat yang dimaksudkan di sini ialah masalah-masalah yang wujud yang membantutkan matlamat melahirkan masyarakat yang maju, berpengetahuan, aman dan tunduk serta beriman kepada Allah s.w.t. Antara masalah yang membantutkan pencapaian matlamat tersebut ialah kejahilan, kemiskinan dan kepapaan.
Anda tentu tahu bahawa jahil dan tiada ilmu pengetahuan merupakan masalah yang besar dan mesti diperangi dengan bersungguh-sungguh. Masyarakat yang tiada ilmu akan ketinggalan, mundur dan akan dijajah serta ditakluk sama ada secara langsung atau tidak langsung oleh negara asing yang lebih tinggi tahap penguasaan ilmu pengetahuan mereka. Ketiadaan ilmu bukan sahaja menyebabkan kerugian dalam urusan keduniaan, malah dalam urusan akhirat juga.
Perkara yang sama juga berlaku dalam masalah kemiskinan dan kepapaan. Kemiskinan boleh menyebabkan seseorang atau sesebuah masyarakat bergantung hidup kepada orang atau negara lain. Apabila hanya bergantung kepada orang atau negara lain, kita tidak lagi mempunyai kebebasan dan kemerdekaan untuk menentukan hala tuju kita. Ini juga samalah ertinya dengan dijajah atau ditakluk oleh kuasa lain. Selain itu kemiskinan juga jika tidak disertai dengan sikap yang betul boleh menyebabkan seseorang itu terganggu dalam perlaksanaan ibadat kepada Allah. Bagi mengelakkan perkara ini, maka kita perlu sentiasa berjihad untuk menyelesaikan masalah kemiskinan dalam masyarakat kita.
0 komentar:
Posting Komentar